Dunia Seram - Mungkin ada di antara kita pernah mendnegar tentang pelesit. Pelesit merupakan makhluk halus yang dibela oleh seseorang tujuan untuk menganggu musuhnya. Biarpun pelesit ini tidak sepopular makhluk yang lain, ia tetap bahaya kerana dianggap saka yang mempunyai tuan. Kisah di bawah ini tentang seorang wanita yang dirasuk sehingga hampir-hampir dirinya bercerai dengan suaminya. Semoga menjadi iktibar buat kita semua.
Sehingga  pukul 10 malam, Simah isteri Meon masih mengerang-ngerang sakit kepala.  Pada mulanya saya menyangkakan dia pening kepala biasa saja, mungkin  disebabkan hawa panas. Tetapi akhirnya Meon memberitahu Simah akan  diserang sakit kepala setiap kali saya datang ke situ. Bagaimanapun  sakit kepalanya itu akan beransur hilang bila saya meninggalkan  rumahnya. Sebenarnya Simah memang selalu diserang sakit kepala, cuma  sakitnya bertambah berat kalau saya datang menemui Meon. Setelah lima  tahun berkahwin dengan Meon rumahtangga mereka tidak begitu tenteram.  Simah sentiasa merasa tidak tenteram dengan sikap Meon.
Tetapi  mengapa dia merasa tidak senang dengan Meon, dia sendiri tidak tahu.  Mujurlah Meon dapat bersabar dengan perangai Simah. Kalaulah tidak  bersabar memang sudah lama rumahtangga mereka runtuh. Meon dapat  memikirkan tentulah ada masalah lain menyebabkan Simah berperangai benci  saja melihat Meon. Bila hatinya senang Simah tetap menunjukkan kasih  sayangnya terhadap Meon. Sebab itulah Meon dapat memahami bahawa Simah  memang ada gangguan lain menyebabkan dia berperangai sentiasa benci saja  melihat dia apabila tiba masa hatinya tidak tenang. Memang Meon  berhajat untuk membawa isterinya menemui Ulung Bahar. Jadi, kedatangan  saya ke rumah Meon pun, memang ada kaitannya dengan cadangan Meon untuk  membawa Simah berubat kepada Ulung Bahar.
“Dah  lama ke Simah sakit macam ni?” tanya saya bila Simah semakin kuat  mengerang-ngerang sebaik saja saya masuk ke biliknya. “Sejak saya kahwin  memang inilah sakit idapannya” ujar Meon lemah. “Sabar sungguh awak,  Meon…” kata saya. Meon terdiam. Terkejut juga dia bila saya kata  demikian. Pada anggapannya saya mengatakan sabar disebabkan dia boleh  bertahan demikian lama dengan Simah. Saya dapat menangkap akan perasaan  Meon bila saya memberitahu demikian tadi. Oleh itu cepat-cepat saya  menyambung, “Maksudnya, kau tak bawa Simah berubat. Lama sangat kau  bersabar membiarkan Simah macam ni…” jelas saya supaya Meon tidak  terkeliru dengan kata-kata saya itu. “Inilah saya nak bawa jumpa Ulung  Bahar nanti” keluh Meon memerhati isterinya mengerang-ngerang sakit  kepala.
Simah  isteri Meon ini berasal dari Air Tawar, Perak. Sejak berkahwin dengan  Meon lima tahun dulu jarang mereka balik ke kampung Meon, di Temerloh.  Lagi pun memang Meon tidak menyangka Simah mengidap penyakit demikian,  sebab itulah dia tidak cepat-cepat membawa bertemu Ulung Bahar. Baru  kebelakangan inilah Meon menyedari Simah sebenarnya sakit. Kadangkala  bila sakit kepalanya menyerang dia akan memaki hamun Meon. Mula -mula  dulu terkejut juga Meon sampai hampir-hampir dia menceraikan Simah.  Apabila Simah pulih semula, dia sendiri tidak tahu apa yang telah  dicakapkannya kepada Meon. Kebetulan saya berhajat mahu bertemu dengan  Ulung Bahar, maka Meon bercadang membawa Simah berubat sekali dengan  Ulung Bahar.
“Cubalah  ustaz tengokkan dulu…” kata Meon semakin rusuh melihat isterinya  mengerang-ngerang sakit kepala. “Sakit kepala lain ni Meon” jelas saya  merasakan bulu roma saya meremang seram sejuk. “Kalau dia melawan tak  terkawal dek kita. Cubalah kau telefon adik kau di Datuk Keramat suruh  dia datang. Kalau ramai nanti panjang juga ikhtiar kita…” saya  menyuruhnya menelefon adiknya Jamlus di Datuk Keramat. Saya tahu Meon  mempunyai adik di Kuala Lumpur tinggal di Datuk Keramat. Sudah dua tiga  kali kami bertemu di rumah Meon itu. Kalau ada saudara mara Meon tidak  segan jugalah saya mahu mencuba mengetahui punca penyakitnya.  Cepat-cepat Meon menelefon Jamlus adiknya. Di samping itu dia juga  memanggil jirannya. Dalam keadaan demikian masing-masing kelam kabut  juga melihat keadaan isteri Meon sambil menuduhnya mati pucuk kerana  sudah lima tahun berkahwin masih belum mendapat anak.
Bagi  Meon maki hamun demikian sudah perkara biasa kepadanya. Dia tidak  tersinggung kalau Simah bercakap demikian. Tetapi bagi jiran-jiran yang  baru datang menjengah terkejut juga dia mendengar kata-kata Simah itu.  Tidak lama kemudian kira-kira jam 11.30 Jamlus datang bersama isterinya.  Terkejut juga dia apabila Meon menelefon fasal Simah sakit. Tentulah  sakit Simah berat menyebabkan abangnya menelefon dia suruh datang  segera. “Kita bawa hospital aje…” kata Jamlus sebaik saja melihat kakak  iparnya mengerang-ngerang kesakitan. “Boleh jadi migraine. Elok cepat  kita bawa ke hospital” gesanya tidak sabar lagi melihat Simah  menggelepar di atas katil. “Sabar dulu…” sahut Meon menahan kerusuhan  hatinya. Jiran-jiran yang lain juga mendesak supaya Simah dibawa ke  hospital memandangkan keadaannya menggelepar seperti ayam kena sembelih.  Saya masih berfikir apakah cara yang harus dilakukan dengan keadaan  yang demikian. Keadaan demikian begini bukanlah baru kali pertama saya  tempuhi, sebab itu saya tidak tergopoh-gopoh sangat melihat keadaan  Simah itu.
“Kak  Simah ni kena migraine agaknya. Jangan sabar-sabar lagi, bawa aje ke  hospital” desak Jamlus lagi. Tetapi Meon yakin Simah bukan dihinggapi  sakit migraine. Kalaulah Simah kena sakit migraine masakan dia akan  memaki hamunnya. Menuduh dirinya yang bukan-bukan. Sehingga Simah  tergamak mengatakan dia mati pucuk kerana tidak mendapat seorang anak  pun setelah lima tahun berkahwin. Mujurlah dia dapat menahan sabar  apabila dituduh demikian. Memang dia sedar Simah sakit, tetapi tidak  dapat mempastikan sakit sebenarnya. Setelah ada ura-ura saya mahu  menemui Ulung Bahar, barulah dia bercadang mahu mencuba membawa Simah  berubat pada Ulung Bahar.
“Ada  dukun di sini yang boleh kita cuba?” saya bertanya pada Meon. Meon  menggeleng kepala tidak tahu. Memang dia tidak tahu siapakah dukun di  kawasan perumahan itu. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas  harian, kadang-kadang jiran sebelah rumah pun tidak kenal. Inikan pula  mahu tahu mengenai siapa menjadi dukun di situ. “Kita cari di Sungai  Pusu…” seorang jiran memberitahu. “Boleh juga kita panggil dukun tu”  kata saya berpaling pada jiran yang memberitahu itu. “Saya tak tau  rumahnya” sahut dia serba salah. “Tetapi saya dengar dia duduk di Sungai  Pusu. Kalau kena penyakit macam ni, selalunya orang panggil dia” jelas  jiran itu lagi. “Kalau tak tau rumah macam mana nak cari malam-malam  ni…” keluh Jamlus pula. Kata-kata Jamlus itu benar juga. Sekiranya hari  siang boleh juga bertanya pada siapa-siapa yang melintas di situ. Tetapi  bila hari malam masakan mahu mengetuk rumah orang mencari dukun  tersebut.
“Ah,  Sungai Pusu tu bukannya besar sangat” seorang lagi jiran mencelah.  “Mari kita ke sana, kita carilah sampai dapat…” ujarnya mengajak Jamlus  mencari dukun berkenaan di Sungai Pusu. Setelah Jamlus dan jiran itu  pergi, keadaan Simah masih juga tidak berubah. Dia menggelepar ke kiri  ke kanan sambil mengerang sakit kepala. Jiran-jiran yang datang  menziarah tadi tidak keruan dengan keadaan tersebut. “Sebelum dukun tu  sampai, ustazlah cuba-cuba dulu…” Meon menepuk bahu saya. Saya tahu Meon  memang ikhlas meminta saya mendoakan supaya isterinya sembuh. Dalam  masa setahun dia mengenali saya, memang dia sudah mengagak mestilah ada  sebab mengapa saya berhajat sangat mahu menemui Ulung Bahar. Selalu juga  dia bila terasa sakit gigi mengusik-ngusik suruh saya ubatkan. Tetapi  tidak pernah saya penuhi permintaannya. Kalau dia mendesak juga saya  suruh dia ke klinik gigi.
Bagaimanapun  Meon tidak pernah berkecil hati kalau saya bersikap demikian. Pernah  juga dia meminta saya doakan  supaya tidak basah terkena hujan, saya  beritahu dia doa supaya tidak basah terkena hujan pakailah payung. Semua  ini adalah usik mengusik saja. Dia hanya mahu berolok-olok dengan saya,  seperti juga dia pernah berolok-olok dengan Ulung Bahar. Tetapi kali  ini saya sedar Meon bukanlah berolok-olok. Dia meminta dengan ikhlas.  Saya menjadi serba salah dengan permintaan Meon, di samping keadaan  Simah yang semakin membimbangkan. Dalam ingatan saya sudah tergambar  mungkin ada benda lain yang mengganggu menyebabkan Simah cepat diserang  penyakitnya apabila saya berada di rumah itu.
Hingga  pukul 12.00 malam dukun dari Sungai Pusu yang dijemput oleh Jamlus  masih belum datang. Jamlus juga tidak nampak muka hidung. Memandangkan  keadaan Simah menggelepar-gelepar menahan sakit di kepalanya, saya pun  meminta izin dari Meon untuk memegang kepala Simah. Kira-kira dua minit  saya memegang kepalanya, tiba-tiba Simah bingkas bangun lalu meludah  saya. “Kau yang tukang kacau, laknat!” bentak Simah macam mahu menerkam  ke arah saya. “Buat apa kau datang selalu ke sini, kau nak nikah dengan  aku ke?” dia ketawa mengilai. “Kau harus sabar Meon…” bisik saya  perlahan. “Yang bercakap ni bukan Simah lagi, yang lain bercakap ni”  kata saya menerangkan pada Meon. “Saya tahu ustaz” jelas Meon merapati  saya. “Buatlah macam mana pun, memang saya tahu, fasal saya selalu ikut  Ulung Bahar” ujarnya. Simah terus berdiri dengan tangannya mahu  mencengkam leher saya. Cepat-cepat Meon memegang pinggangnya membawa  rebah semula ke katil.
“Meon,  kau jangan jadi bodoh!” Simah meronta-ronta mahu melepaskan diri dari  Meon. “Inilah jantannya yang menggoda aku. Dia nak nikah dengan aku,  tapi aku tak mau. Aku sayangkan kau Meon” dia merintih-rintih bagaikan  merayu. “Siapa hendakkan kau, aku pun tak mau” bentak Meon. “Kau tak  mahu pada aku?” mata Simah terjengil memerhati Meon. “Aku tak mau..!”  sahut Meon keras. “Sekarang ceraikan aku…” Simah juga bersuara keras.  “Berambuslah kau” kata Meon. “Lepaskan aku…!” Simah meronta-ronta sekuat  tenaga. “Lepaskan aku, biar aku berambus” dia membentak-bentak sambil  menumbuk dada Meon. “Kalau kau nak berambus, berambuslah” jerkah Meon  semakin kuat memaut pinggang Simah. “Tapi, tinggalkan Simah tau!”  katanya memahami apa sebenarnya berlaku di sebalik keadaan Simah  demikian. “Kau gila, aku ni bukankah Simah” dia tertawa mengejek. “Aku  tau kau setan!” bentak Meon.
Dari  cara Meon bercakap itu memang saya tahu dia juga menyedari akan  penyakit isterinya. Tetapi selama ini dia sengaja merahsiakan dari  pengetahuan saya. Dia bimbang kalau saya mengetahuinya, nanti akan  menyusahkan saya pula. Memang Meon tahu akan gangguan syaitan tersebut.  Tetapi apakah jenis gangguannya tidaklah diketahui. “Sekejap lagi dukun  Sungai Pusu datang, kau rasa nanti!” Meon cuba mengugut. “Ah, bapak  dukun Sungai Pusu aku tak takut” balas Simah termengah-mengah mahu  melepaskan diri dari Meon. Beberapa orang jiran wanita juga turut sama  membantu memegangkan kakinya. “Dukun Sungai Pusu tu takut pada aku,  takkan dia berani datang…!” dia tertawa macam menyindir Meon. “Diam…!”  herdik saya merenung muka Simah. Ketika ini saya tidak nampak Simah lagi  meronta-ronta di atas katil. Saya berada jauh dari rumah Meon di Gombak  di sebuah bukit dekat Air Tawar di Perak. “Diam, kata aku. Sekarang kau  datang ke sini, supaya aku bakar kau dengan Ayatul Kursi…!” saya terus  membaca Ayatul Kursi sebanyak 17 kali.
Selesai  saja saya membaca Ayatul Kursi wajah Simah bertukar menjadi seorang  perempuan tua kurus dengan rambut menggerbang putih. Perempuan tua itu  mengilai ketawa mengejek-ngejek saya. Dia merenung saya bagaikan mahu  menerkam, tetapi tidak dapat mara. “Jangan nak sembunyi lagi!” suara  saya semakin keras. “Ah, merepeklah kau. Jangan cuba nak goda aku…”  perempuan tua itu terkekeh-kekeh ketawa. “Aku ni bini Meon, buat apa kau  goda. Mentang-mentang Meon mati pucuk, kau fikir aku mudah tergoda  dengan kau” dia cuba menyakitkan hati Meon yang mendengarnya. “Kau fikir  Meon bodoh” sahut saya sambil memerhatikan gerak gerinya yang mencari  tipu helah. “Kau dah tua, Meon tengok pun tak ada nafsu” saya pula  menyakitkan hatinya. Dia menjadi marah bila saya katakan dirinya sudah  tua. Dia tetap mengaku dirinya Simah, walaupun saya sudah melihat akan  rupa asalnya. “Jangan kau nak berdusta!” saya membaca Ayat Yassin dan  menghembuskan ke arahnya. Angin kencang bertiup menyebabkan dia  melayang-layang tidak jejak ke bumi. “Aku tau kau perempuan tua simpan  pelesit, tubuh kau kurus, rambut menggerbang putih macam pontianak,  siapa pun tengok tak naik nafsu” kata saya lagi.
Dia  bertambah marah bila saya sudah mengetahui dirinya yang sebenar. Pada  sangkaannya saya hanya melihat Simah terbaring meronta-ronta menggelepar  di atas katil. Barulah disedarinya saya sudah melihat dirinya yang  sebenar dari kawasan hutan terbiar di sebuah bukit di kampung Simah.  Bila diketahuinya dirinya sudah dapat dikesan, dia terpaksa menentang  habis-habisan. Perempuan tua itu mengeluarkan botol kecil dari ikatan  pinggangnya, lalu mengeluarkan seekor belalang. “Anak aku ini akan  mengajar kau…!” gerutunya lalu melepaskan belalang tersebut. Seekor  belalang sebesar pohon kelapa menerpa ke arah saya. Cepat-cepat saya  melompat ke atas belalang tersebut. Saya menyebut Allahu Akhbar tiga  kali menyebabkan belalang itu kembali menjadi kecil dan jatuh ke dalam  genggaman saya. Perlahan-lahan saya memulas kepala belalang itu dengan  membacakan Ayatul Kursi 33 kali. Ketika ini perempuan tua itu  terjerit-jerit memegang tengkuknya menahan kesakitan. Dia terkial-kial  merebahkan badan ke bumi mahu melawan balik. Apabila saya pulaskan  kepala belalang itu sampai putus, tubuh perempuan itu bertukar menjadi  belalang lalu terbang berligar-ligar di kepala saya mahu menyerang.
Bagaimanapun  dia tidak dapat menghampiri saya. Kemudian saya membaca lanarjumannakum  dari Surah Yassin menyebabkan dia terpelanting ke tanah. Berpuluh-puluh  panah api datang menerjah ke tubuhnya. Dia menggeliat menahan panahan  api itu, tetapi masih bertahan tidak mahu mengalah. Apabila tidak tahan  dengan panahan api, belalang berkenaan berkepul-kepul menjadi asap hitam  lalu membentuk satu lembaga manusia. Lama kelamaan dia menjelma di  depan saya. Dia lelaki tua bertubuh kurus memakai pakaian serba hitam.  Mukanya cengkung berkedut-kedut macam kulit gajah. “Aku sayang pada  Simah ni…” ujar lelaki bertubuh kurus itu. “Aku nak nikah dengan dia,  kenapa awak tak bagi?” suaranya lemah bagaikan meminta belas kesihan.  “Simah mahukah pada awak?” tanya saya. “Ada masa dia mau, ada masa tak  mau…” beritahunya perlahan berketar-ketar. “Apa fasal dia tak mau?” saya  mengujinya. “Dia kata saya mati pucuk…” ujarnya serba salah. “Simah dah  nikah dengan Meon” jerkah saya memberi amaran. “Kenapa awak ganggu dia  lagi?” tanya saya keras sambil mengejeknya. “Saya cintakan dia” jelasnya  menangis tersedu-sedu. “Buruk sangat rupa awak orang tua menangis…”  sindir saya.
Dalam  masa saya berkata-kata dengan lelaki tua itu, tiba-tiba perempuan tua  bertubuh kurus itu menjelma semula. Dia terlalu marah kerana lelaki itu  cuba berbaik-baik dengan saya. “Dia inilah yang selalu kacau kita…!”  kata perempuan tua menjelirkan lidah kepada saya. Saya mendiamkan diri.  Saya mahu lihat sejauh mana tindakan seterusnya dari mereka berdua.  Tetapi mereka berdua tidak menyerang saya. Cuma perempuan tua itu saja  menyindir untuk menyakitkan hati, sementara lelaki tua itu seolah-olah  dalam ketakutan. “Dia nak pisahkan kita!” ujar perempuan tua itu lagi.  “Kalau dia datang dekat, aku rasa tubuh aku terbakar. Sebab itu kita  mesti jauhkan dia dari berkawan dengan Meon. Aku tak tau apa ilmu yang  dia pakai” perempuan tua itu menangis teresak-esak sambil  menggeliat-geliat seperti menanggung bahang kepanasan. Lelaki itu tetap  mendiamkan diri. Dia mengusap-ngusap rambut yang menggerbang putih.  Sekali sekala saya nampak muka perempuan tua itu berubah menjadi Simah.  Tetapi apabila saya hembuskan ayat Hazihi jahannamullati kuntum tu  ‘adun, wajah tersebut tidak jadi bertukar.
Dari  situ dapatlah saya fahamkan bahawa memanglah sukar mahu mengubati  Simah, kerana gangguan yang datang itu bukanlah datangnya dari luar.  Gangguan ini datang dari keluarganya turun temurun yang pernah menyimpan  pelesit. Apabila pelesit itu sudah tidak bertuan, maka dia mencari  keturunan tuannya sebagai sumpahan untuk mencari naungan. Simah yang  tidak tahu apa-apa tidaklah mahu menerima kedatangan pelesit yang  berasal dari datuk nenek moyangnya dulu. Inilah yang selalu mengganggu  dia kerana dirinya sudah terpisah jauh dari pelesit tersebut, sedangkan  pelesit berkenaan cuba mendekatkan dirinya. Sebab itulah pelesit  berkenaan menjadi seperti orang yang diganggu oleh api bila berdekatan  dengan orang-orang yang mengamalkan membaca Suratul Kursi setiap hari.  Mungkin Simah sendiri tidak tahu tentang asal usul datuk nenek moyangnya  dulu ada memelihara pelesit.
“Jauhkan  dia dari sini” rayu perempuan tua itu kepada lelaki tua yang berdiri di  sampingnya. Lelaki tua itu menghentakkan kakinya ke tanah tiga kali.  Kemudian beribu-ribu belalang menerpa ke arah saya. Sebaik saja  belalang-belalang itu mahu menerpa saya hembuskan Fatihah, menyebabkan  semuanya gugur ke bumi seperti dibakar api. Terasa saya seakan-akan  lemas akibat bau hangit belalang terbakar. Merah padam muka lelaki  tersebut melihat semua belalangnya habis terbakar. Semua belalang yang  jatuh itu tengkuknya terpatah dan keluarlah seulas nasi dan sehelai  rambut dari tengkuk terpatah itu. “Aku datang mencari anak cucu aku…”  lelaki tua itu bersuara keras. “Tak patut awak putuskan hubungan kasih  sayang kami” katanya kesal dengan sikap saya menghalang tindakan dia.  “Simah tak perlukan awak lagi” sahut saya membentak. “Dia perlukan Meon,  biar Meon yang jaga dia. Awak tak perlu jaga dia” ujar saya  memarahinya.
Ketika  saya menyahut kata-katanya dia menyimbahkan air ke atas bangkai-bangkai  belalang tadi. Sekaligus bangkai-bangkai terbakar itu menjadi kepulan  asap hitam yang berjurai-jurai seperti rambut. Juraian rambut menyerkup  ke kepala saya menyebabkan pandangan saya gelap tidak kelihatan apa-apa  lagi. Namun saya tetap bertenang menghadapi tekanan-tekanan seperti ini.  Semua yang saya hadapi itu adalah tipu daya syaitan belaka. Beberapa  ketika saya terperangkap dalam juraian rambut itu, hingga  hampir-hampir  meliliti seluruh tubuh saya. Lalu saya bacakan Surah Waddhuha sepuluh  kali. Tiba-tiba juraian rambut itu melayang ditiup angin. Lelaki tua itu  semakin marah kerana rambut yang menyerungkup ke kepala saya tadi  diterbangkan angin. Itulah pertama kali serangannya sampai ke tubuh  saya. Memang kesilapan telah saya lakukan membiarkan dia menyerang  sambil melayani dia bercakap.
Tok  Aji pernah mengingatkan saya supaya tidak melayani syaitan apabila  berhadapan dengannya. Kalau menentang syaitan mestilah digempur sampai  mereka kalah. Sekiranya kita melayaninya, sudah tentulah kita termasuk  ke dalam perangkap tipu dayanya untuk melalaikan kita. Setelah  teringatkan Tok Aji, saya pun menguatkan zikir saya. Saya membaca  beberapa ayat yang diajarkan oleh Tok Aji. Ketika ini seluruh kawasan  itu bergoncang kuat seperti gempa disambut oleh petir serta kilat. Orang  tua lelaki dan perempuan itu berlari-lari mahu menyelamatkan diri.  Batu-batu dari atas bukit juga gugur melayang menerjah ke arahnya.  Mereka berdua menjadi panik dengan gempa yang datang secara tiba-tiba.  Saya tetap berdiri di tengah-tengah gempa itu memerhatikan mereka berdua  berlari ke hujung ke pangkal mencari tempat selamat. Tetapi ke mana  saja mereka berlindung petir dan kilat menyambar. Mereka terpelanting  apabila disambar kilat dan petir bertalu-talu. Termengah-mengah mereka  mencari tempat perlindungan. Akhirnya mereka lesap di dalam kepulan asap  di tengah-tengah dentuman petir serta kilat menyambar. Setelah mereka  berdua hilang saya memberhentikan bacaan. Lama saya menunggu di situ,  namun dia tidak muncul-muncul lagi.
Saya  rasa buat sementara itu dia tidak akan datang lagi mengganggu.  Bagaimanapun mereka tetap akan berusaha untuk meneruskan cita-citanya  untuk bernaung kepada Simah. Hal inilah yang mahu saya beritahu pada  Meon, supaya dia sendiri mesti mempunyai persediaan menghadapi  kemungkinan tersebut. Setelah yakin mereka tidak akan mengganggu lagi,  saya meninggalkan kawasan hutan di pinggir bukit itu, dan kembali  berdiri di dalam diri. Apabila saya membuka mata, saya dapati Simah  sudah pulih semula. Tetapi keadaannya masih letih lagi. Rupanya ketika  saya menghadapi suasana sengit tadi, Jamlus dan rakan yang pergi  menjemput dukun ke Sungai Pusu sudah balik. Mereka berdua hampa kerana  dukun berkenaan sudah pun dijemput oleh orang di Damansara. Sehingga  hampir pukul 2.00 pagi mereka menunggu, dukun itu tidak juga balik.  Akhirnya terpaksalah mereka mengambil keputusan balik semula ke rumah  Meon.
Jamlus  bertanyakan kepada saya siapakah yang melakukan gangguan itu. Saya  hanya tersenyum dengan soalan demikian. Selalunya begitulah pertanyaan  yang diterima apabila menghadapi masalah demikian. Sepatutnya mereka  bersyukur kerana dapat menjauhkan diri dari gangguan syaitan. Siapa yang  membuat gangguan itu tidak harus difikirkan lagi. Apabila saya tanyakan  kepada Simah, sama ada terdapat di kalangan keluarganya di masa lalu  yang menjadi dukun atau bomoh, Simah memberitahu ayah kepada moyangnya  dulu memang dukun terkenal. Tetapi selepas peringkat moyangnya, dia  tidak lagi mahu menjadi dukun hinggalah sampai kepada beberapa keturunan  seterusnya. “Saya sedar apa yang berlaku ke atas diri saya” ujar Simah  dalam keletihan. “Tetapi saya tak dapat nak mengawal diri, macam ada  kuasa lain yang mengawal saya..” jelasnya bila mengingatkan peristiwa  sebentar tadi.
Memang  saya akui cerita Simah itu. Memang mereka yang menerima gangguan ini  sedar apa yang sedang berlaku. Tetapi mereka tidak dapat mengawal  dirinya sama ada bercakap atau bertindak. Kejadian demikian memang aneh,  tetapi itulah hakikat yang sebenarnya. Apabila saya menerangkan kepada  Simah mengenai belalang pelesit, dia teringat aruah neneknya pernah  memberitahu tentang keluarganya dari keturunan dulu memang memelihara  pelesit. Semasa Tok Bani meninggal dunia dia tidak sempat menurunkan  pelesit peliharaannya itu kepada anak cucunya. Maka pelesitnya itu  sentiasalah mencari anak cucu Tok Bani untuk tempat bernaung. Apabila  pelesit itu tidak dapat bernaung maka anak cucu Tok Bani pun menjadi  mangsa. Adik nenek Simah itu pernah menjadi lumpuh dengan tidak  bersebab. Penyakit lumpuhnya itulah yang membawa maut kepadanya. Selepas  dia meninggal dunia akibat lumpuh, seorang lagi keluarganya mati  muntah-muntah darah seperti termakan racun. Hingga sampailah kepada bapa  saudara Simah bernama Jana, dengan tidak semena-mena diserang penyakit  lemah tenaga batin hingga menyebabkan dia menjadi tidak siuman. Ketika  mengubat Jana inilah Dukun Busu mendapat tahu tentang Tok Bani menyimpan  pelesit. Dukun Busu mencari punca-punca Jana hilang tenaga batin hingga  menjadikan dia tidak siuman. Dia mendapati pelesit Tok Bani yang sudah  tidak bertuan itu mencari perlindungan kepada Jana. Disebabkan Jana  tidak tahu bagaimana mahu memeliharanya, maka pelesit itu telah memakan  tuan sendiri.
Credit:Sumber.
 
 
0 Response to "Kisah Seram - Misteri Sumpahan Pelesit Turun Temurun "
Posting Komentar