Membelek  susunan novel di kedai-kedai buku membuatkan anda sesak nafas. Mengapa?  Kerana anda sudah jemu dihidangkan dengan lambakan novel bergenrekan  cinta cintan cintun. 
 Membaca  novel A, kisahnya mengenai kahwin paksa. Cuba meneliti sinopsis novel  B, plotnya berkisarkan cinta dua darjat. Beralih ke novel C, tidak  habis-habis dengan hero dan heroin bergaduh yang akhirnya bercinta.
Anda hampir keluar daripada kedai buku, tetapi pandangan tertacap pada sebuah novel dengan kulit kaver pocong sedang berselfie. Ya, mungkin itu novel yang anda perlukan. Berbeza! 
 Ada Hantu? adalah novel keluaran Gedebook yang akan membawa anda untuk menyelami kisah seram. Bukan kisah seram biasa, tetapi kisah seram yang akan membuat anda meremang bulu roma sambil ketawa. 
Enam  orang penulis berentap idea menghasilkan satu cubaan dalam dunia  penulisan untuk menghasilkan konsep cerita yang lain daripada lain.
Akhirnya, lapan buah cerita berjaya dimuatkan ke dalam satu novel dengan tema komedi seram. 
Membaca Ada Hantu? seolah-olah anda sedang menaiki permainan roller coaster.  Apabila di jalan mendatar, anda lega. Apabila ia menaiki puncak, anda  berdebar. Apabila ia turun menjunam, anda mula mengilai. Penulis-penulis  ini bijak bermain dengan ayat dan mempunyai idea penceritaan yang  sangat menarik. Unsur suspens yang diterapkan hampir kesemuanya menjadi.  Tidak lupa juga elemen komedi yang diserapkan dalam hampir semua  cerita. Hampir semua watak utama dalam setiap kisah membawa perwatakan seorang yang penakut. Pantang diusik, pasti akan ketar lutut. 
Walaupun  begitu, pembaca akan seolah-olah dapat menjiwai setiap watak dan  seperti terasa berada dalam kisah tersebut. Siapa sangka wujudnya hantu  gincu merah, hantu engsot, zombi putih dalam masyarakat kita? Hanya di  dalam novel keluaran syarikat Gedebook ini sahaja! 
Pembaca  juga mungkin akan tertarik dan dapat menyaksikan betapa susahnya mereka  yang terpaksa bekerja sebagai pembawa van jenazah dan mereka yang  menguruskan rumah mayat. Betapa besarnya pengorbanan mereka dalam  menjalankan fardu kifayah. 
Mempunyai  pekerjaan sedemikian memerlukan kekuatan mental yang kuat agar tidak  mudah goyah iman. Namun dalam novel ini, semuanya diceritakan dalam  kisah yang seram dan kelakar, tetapi berilmu. 
Jika  anda mencari kelainan atau gemar dengan genre komedi seram tetapi malas  hendak ke panggung untuk menyaksikan lambakan cerita bergenrekan yang  sama, mungkin anda boleh mula mencari novel ini. Pastikan anda tidak  membaca seorang diri. 
Jangan salahkan penulis-penulis ini jika anda berasa seram sejuk. Tepuk dada, tanya iman. Enjoy!
Credit:Sumber 
 
 
0 Response to "Cerpen Komedi Seram: Ada Hantu?"
Posting Komentar