Sidang                                    Jumaat Yang Berbahagia,
                                                                    Setiap muslim dan muslimat yang benar-benar                                    beriman kepada janji-janji Allah dan Rasulnya                                    pasti bergembira menyambut kedatangan bulan                                    Ramadhan Al-Mubarak pada setiap tahun. Begitu                                    juga dengan tahun 1421H ini di mana kita sekali                                    lagi diberi kesempatan oleh Allah Subhanahua                                    taala menyambut dan meraikan ketibaan bulan                                    Ramadhan yang penuh rahmat dan pahala, dengan                                    kegembiraan serta iman taqwa yang teguh. Hanya                                    mereka yang lemah iman sahaja yang merasa cemas                                    dan risau dengan kunjungan Ramadhan. Begitu                                    juga dengan mereka yang tidak mengenali fadhilat                                    atau keberkatannya. Tetapi bagi orang yang dapat                                    memahami fadhilatnya akan menunggu dengan jiwa                                    kesyukuran seperti yang dijelaskan oleh baginda                                    Rasullullah S.A.W melalui hadisnya yang bererti                                    "Sekiranya umatku mengetahui kemulian                                    dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan                                    kedatangan Ramadhan itu di sepanjang tahun".                                    
                                Keistimewaan                                    Ramadhan akan lebih ketara lagi jika ia dibandingkan                                    dengan sebelas bulan yang lain. Walaupun semua                                    bulan mempunyai kelebihan, namun kelebihan Ramadhan                                    tetap tidak dapat ditandingi. Hal ini ditegaskan                                    oleh nabi kita Muhammad S.A.W dengan sabdanya                                    yang bererti "Bulan Ramadhan adalah                                    penghulu kepada bulan-bulan yang lain".
                                Muslimin                                    yang terhormat, 
                                Terdapat                                    banyak hadis yang menerangkan keagungan Ramadhan                                    Al-Mubarak, diantaranya sabda Rasullullah S.A.W,                                    Ertinya "Apabila menjelang bulan Ramadhan,                                    dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu                                    neraka dan dibelenggu segala iblis dan syaitan".                                    
                                Hadis                                    di atas ini memberi pengertian bahawa bulan                                    Ramadhan adalah bulan keemasan untuk umat Islam                                    meningkatkan amal ibadah serta memantapkan iman                                    dan membersihkan diri dari kerja-kerja maksiat                                    yang didorong oleh hawa nafsu atau godaan syaitan.                                    Di dalam bulan yang suci inilah sepatutnya mereka                                    melakukan hisab atau muhasabah diri di atas                                    kerja-kerja yang telah dilalui dan akan dihadapi                                    samada yang bermanfaat atau sebaliknya.
                                Para                                    ulama menjelaskan, Ramadhan adalah bulan yang                                    menjanjikan sebaik-baik balasan kepada mereka                                    yang berbuat amal soleh samada di awal, pertengahan                                    ataupun di akhirnya. Sebaliknya mereka yang                                    malas dan yang terus melakukan perbuatan-perbuatan                                    maksiat dan dosa, atau memandang bulan Ramadhan                                    itu sama seperti bulan-bulan yang lain, bukan                                    sahaja mereka tidak dapat pahala yang dijanjikan                                    malahan akan menerima azab akibat dari kejahatan                                    yang boleh menjatuhkan kesucian Ramadhan dan                                    keluhuran akhlak umat Islam seluruhnya.
                                Hadirin                                    Yang Dihormati, 
                                Ramadhan                                    adalah semulia-mulia bulan, berbagai-bagai kejadian                                    atau peristiwa berlaku di dalamnya, yang menjadikan                                    tarafnya lebih agong dan lebih berkat, di antaranya                                    : 
                                Pertama,                                    perintah Allah Subhanahua taala ke atas kaum                                    muslimin untuk mengerjakan puasa, firman Allah                                    di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183 yang bermaksud                                    : "Wahai mereka yang beriman, diwajibkan                                    atas kamu berpuasa seperti yang diwajibkan ke                                    atas mereka yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan                                    dengan berpuasa itu kamu akan terpelihara dan                                    bertaqwa". 
Tidak syak lagi, perintah mengerjakan puasa yang menjadi rukun Islam ketiga dalam bulan yang mulia ini menjadikan ia lebih agong dari yang lain.
                                Tidak syak lagi, perintah mengerjakan puasa yang menjadi rukun Islam ketiga dalam bulan yang mulia ini menjadikan ia lebih agong dari yang lain.
Kedua,                                    mula turunnya kitab suci Al-Quran dari ayat                                    pertama hingga kelima dari surah Al-¥Alak iaitu                                    tanggal 17 haribulan. Firman Allah Subhanahua                                    taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang                                    bermaksud : "Didalam bulan Ramadhan                                    ini diturunkan di dalamnya kitab Al-Quran yang                                    menjadi hadiah kepada umat manusia dan membezakan                                    antara yang hak dan bathil".
                                Ketiga,                                    dalam bulan Ramadhan ini juga umat Islam diwajibkan                                    membayar zakat fitrah atau zakat badan serta                                    zakat harta benda ke atas mereka yang mencukupi                                    syaratnya. Kefardhuan zakat fitrah di bulan                                    Ramadhan ini menggambarkan betapa eratnya hubungan                                    puasa dengan zakat. Kedua-duanya wajib dikerjakan                                    dengan sempurna. Maka tidak sempurna agama seseorang                                    itu jika hanya melakukan salah satu daripadanya.                                    Hal ini dijelaskan oleh baginda Rasullullah                                    S.A.W melalui hadisnya, yang bermaksud "Pahala                                    puasa Ramadhan tergantung-gantung di antara                                    langit dengan bumi, ia tidak terangkat ke langit                                    kecuali dengan zakat fitrah".
                                Keempat,                                    di sepanjang bulan Ramadhan yang penuh rahmat                                    ini, Allah Subhanahua taala menghadiahkan kepada                                    umat Islam satu malam yang pahala atau keberkatannya                                    seribu bulan, yang dinamakan Lailatulqadar.                                    Kerana itu, maka menjadi kewajipan ke atas setiap                                    muslim dan muslimat berusaha untuk mendapatkan                                    keagongannya. Iaitu memperbanyakkan zikrullah,                                    bertakbir, bertahlil, berdoa dan lain-lain ibadah                                    yang dituntut dalam Al-Quran dan sunah Rasul.                                    Nabi Muhammad S.A.W menggalakkan umatnya beribadah                                    pada malam tersebut dengan menghampirkan diri                                    kepada Allah Subhanahua taala melalui majlis                                    Qiamullail, beristighfar dan bertadarrus Al-Quran                                    di sepanjang malam pengampunan dosa ini. Janganlah                                    ada orang Islam yang memandang kelebihan malam                                    LailatulQadar sama seperti malam-malam yang                                    lain.
                                Sidang                                    Jumaat Yang Berbahagia, 
                                Dipandang                                    dari sudut mana sekalipun, ibadat puasa perlu                                    dilakukan oleh manusia. Agama Islam yang , mengutamakan                                    kesejahteraan umatnya dari segi rohani dan jasmani,                                    tidak menyuruh mereka melakukan ibadat agong                                    ini sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat                                    kepada mereka. Maka di antara sebab ibadah ini                                    diwajibkan ialah : Pertama, meningkatkan taqwa                                    dan iman manusia dengan melaksanakan suruhan                                    Al-Khaliq secara ikhlas sebagai melahirkan kesyukuran                                    terhadapnya ; Kedua, melahirkan sifat mulia                                    dan jiwa murni dan bersimpati terhadap penderitaan                                    yang dihadapi oleh fakir miskin dan yang menderita                                    ; Ketiga, menguji kesabaran dalam menghadapi                                    kelazatan makan dan minum, keinginan nafsu jantina                                    atau godaan yang ditegah oleh syarak ; Keempat,                                    melatih diri untuk terus berjihad bagi meninggikan                                    syiar Islam disamping menjaga maruah dan keselamatan                                    diri serta membersihkan jiwa dari sifat-sifat                                    tamak, gelojoh dan sifat-sifat mazmumah yang                                    lain. 
                                Bagi                                    memastikan perlaksanaan rukun Islam ketiga ini                                    diterima Allah serta mendapat keredhaannya,                                    ia hendaklah dilakukan mengikut syarat-syarat                                    atau rukun dengan sempurna, berniat ikhlas,                                    berdisplin dan tidak melakukan perbuatan-perbuatan                                    yang boleh membatalkan puasa dan menghilangkan                                    pahalanya. Ini disebabkan tujuan berpuasa bukanlah                                    menahan diri dari makan dan minum sahaja tetapi                                    menahan semua anggota dari melakukan kerja-kerja                                    yang tidak berakhlak atau yang dilarang oleh                                    agama. 
                                Dalam                                    hal ini kita harus gerun dengan hadis Rasullullah                                    S.A.W yang bererti "Berapa ramai orang                                    yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa                                    balasan dari puasa melainkan lapar dan dahaga".
                                Mengambil                                    sempena keagongan Ramadhan, marilah kita meletakkan                                    azam untuk menaikkan maruah dan sahsiah dengan                                    menambah iman taqwa kepada Allah, sekurang-kurangnya                                    dengan berpuasa pada siang hari dan bersalawat                                    tarawih pada malam harinya. Orang yang menghormati                                    tuntutan Ramadhan bererti memuliakan dirinya                                    dan mencemari Ramadhan bererti ia menjatuhkan                                    harga dirinya sendiri.
 TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID
SELURUH NEGERI MELAKA
SELURUH NEGERI MELAKA
Credit:Sumber 
 
 
0 Response to "FADHILAT RAMADHAN AL-MUBARAK"
Posting Komentar